Dapatkan berita-berita terkini dan kisah-kisah menarik semasa di dalam dan luar negara hanya di borak-kedai-kopi.blogspot.com : For News in English please visit our Google+ page at https://plus.google.com/+BorakKedaiKopiBlogspot1

Saturday, October 25, 2014

Kanser Payu dara: Utamakan Rawatan Moden

Datuk Fatimah Abdullah

SIBU - Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah menasihatkan wanita yang didiagnos positif kanser payu dara supaya mengutamakan rawatan perubatan moden dan nasihat doktor daripada rawatan tradisional.




Beliau berkata, ini kerana rawatan tradisional belum lagi diuji keberkesanannya secara saintifik dan klinikal.

"Tetapi apabila rawatan tradisional itu tidak berkesan barulah mereka pergi kepada doktor dan ini mungkin sudah agak lewat.

"Kita sepatutnya tidak berlengah sebab bagi penyakit kanser, masa serta rawatan segera adalah sangat penting," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran kempen "Ucap Selamat Tinggal Kepada Kanser Payu Dara" bagi negeri Sarawak anjuran Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dengan kerjasama Avon Cosmetic (M) Sdn Bhd di Butik Kecantikan Avon Kampung Dato di sini hari ini.

Fatimah berkata, sejak pelancaran kempen itu pada Mei 2007 sehingga 30 September tahun ini, seramai 28,043 wanita di Sarawak telah menjalani saringan mamogram dan 35 kes kanser payu dara telah dikesan.

"Saringan ujian ini sangat penting bagi membantu wanita mengesan kanser payu dara lebih awal dan membolehkan doktor melakukan rawatan-rawatan susulan dengan kadar segera," katanya. - Bernama

Kanser payudara adalah tinggi di kalangan wanita. Testimoni kes dan keterangan dari pesakit hanya menyedari apabila sakit kanser mereka sudah berada ditahap membahayakan.

Ramai wanita memilih rawatan tradisional kerana mereka takut sekiranya mereka benar-benar menghidap sakit kanser payudara. Harus diingatkan, pengesanan awal adalah lebih penting bagi merawat kanser payu dara. Pelbagai pihak seharusnya memainkan peranan dalam memberi kesedaran kanser payu dara dan penggunaan peralatan serta rawatan moden yang lebih tepat dan cekap dalam merawat penyakit tersebut.

Kajian mendapati, 2 daripada 3 wanita Malaysia tidak melakukan BSE walaupun menyedari sakit kanser payu dara adalah pembunuh nombor satu. Antara alasan popular yang seringkali disuarakan adalah kurang yakin, tidak tahu apa perlu dicari, takut menemui sesuatu tidak normal dan tidak kurang juga yang kurang selesa menyentuh payu dara sendiri.

Menurut Daftar Kanser Kebangsaan Malaysia, satu daripada 19 wanita tempatan mempunyai kebarangkalian menghidap kanser payu dara. Ia paling biasa menyerang kaum Cina (1:14 wanita) diikuti India (1:15) dan Melayu (1:24). Sekalipun nisbah wanita Melayu yang paling kecil, ironinya, sering kali mereka adalah yang paling lambat didiagnosis. Antara 40 hingga 60 peratus pesakit yang datang berjumpa doktor telahpun melewati tahap 3 atau 4, di mana tidak banyak boleh dilakukan. Semakin lewat kanser dikesan, semakin tipis peluang pesakit untuk sembuh.

Punca khusus kanser ini masih samar tetapi beberapa kaitan genetik dan persekitaran telah dikenalpasti. Memandangkan tiada penawar dan rawatan sedia ada belum berkesan 100%, yang ada cuma kata-kata keramat ‘pengesanan awal boleh menyelamatkan nyawa’.

Mengetahui apa yang normal (dan tidak normal) pada payu dara anda umpama menekan suis antara kematian dan kehidupan. Jika anda arif dengannya, bukan satu masalah bagi anda untuk mengesan sebarang perbezaan yang tidak ketara, tetapi mungkin serius. Perubahan-perubahan yang berlaku mungkin boleh dilihat dengan mata kasar atau mungkin hanya jelas selepas beberapa bulan. Ia mungkin tanda awal sesuatu yang lain di bawah permukaan payu dara.

Tanda-tanda yang perlu anda perhatikan :

- benjolan di payu dara atau ketiak
- perubahan luarbiasa tekstur, bentuk dan saiz payu dara
- kulit payu dara bengkak, berkedut dan ke dalam
- puting susu tenggelam
- pendarahan atau lelehan luarbiasa dari puting
- kulit payu dara berbintik seperti kulit limau

Usah takut sekiranya anda terjumpa ketulan kerana 9 daripada 10 benjolan yang ditemui tidak semestinya kanser. Sesetengah wanita berkecenderungan secara genetiknya mewarisi benjolan pada payu dara. Bagaimanapun, anda perlu berwaspada terhadap semua gumpalan dalam payu dara kerana kemungkinan kanser tetap ada dan hanya doktor boleh mengesahkannya.

Periksa payudara sendiri sekali setiap bulan, dalam tempoh 3 hari selepas haid berakhir ataupun 7 hingga 10 hari selepas bermulanya haid, iaitu tempoh payu dara paling kurang bengkak dan sakit. Jika telah menopaus, kedatangan haid tidak tetap atau telah menjalani pembedahan histerektomi (membuang rahim), periksalah payu dara seelok-eloknya pada hari sama setiap bulan.

Ingat, pengesanan awal dan rawatan secara moden boleh menyelamatkan nyawa anda!

0 comments: