Dapatkan berita-berita terkini dan kisah-kisah menarik semasa di dalam dan luar negara hanya di borak-kedai-kopi.blogspot.com : For News in English please visit our Google+ page at https://plus.google.com/+BorakKedaiKopiBlogspot1

Friday, October 31, 2014

Pelajar MSML maut kemalangan

Mayat Ayub Izuddien ditutup dengan plastik.

MACHANG - Seorang pelajar Maahad Syamsul Maarif Lelaki (MSML) maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh belakang sebuah treler yang diletakkan di bahu jalan di atas jejambat Machang-Kuala Krai, di sini, pagi semalam.


Dalam kemalangan kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Ayub Izuddien Noor Aidil,17, dari Pangkal Payong, Batu 30 dekat sini, parah di kepala dan meninggal dunia di tempat kejadian akibat rempuhan yang kuat.

Pemangku Ketua Polis Daerah Machang, Deputi Superintendan, Kamal Azural Mohamed berkata, ketika kejadian mangsa dipercayai dalam perjalanan ke MSML, Labok.

Menurutnya, sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai gagal mengawal motosikalnya lalu terlanggar bahagian belakang sebelah kanan treler terbabit.

“Kejadian berlaku di Kilometer 40 Jalan Kota Bharu-Kuala Krai. Mangsa dari arah Kuala-Krai ke Kota Bharu terlanggar sebuah lori yang berhenti di laluan kecemasan dari arah yang sama .

“Punca sebenar kemalangan yang meragut nyawa pelajar itu masih disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Justeru, beliau menasihatkan penunggang lain supaya lebih berhati-hati sekiranya menunggang pada awal pagi kerana berkemungkinan berlaku halangan penglihatan akibat cuaca berkabus dan sebagainya.

“Pada masa sama, pemilik kenderaan yang diletakkan di bahu jalan diminta supaya memasang isyarat atau tanda jelas sekiranya berlaku kerosakan supaya disedari pengguna jalan yang lain," katanya.

Sementara itu, Pengetua MSML, Shaikhuddin Shafie berkata, kehilangan arwah meninggalkan kesan kepada warga sekolah, apatah lagi dia bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.

Katanya, Ayub Izuddien merupakan seorang pelajar yang aktif di sekolah serta ringan tulang, malah sempat menolong beliau di sekolah semalam selepas waktu pembelajaran tamat.

“Takziah kepada keluarga mangsa dan saya berharap mereka bersabar menerima ujian ALLAH ini,” katanya.




0 comments: