Dapatkan berita-berita terkini dan kisah-kisah menarik semasa di dalam dan luar negara hanya di borak-kedai-kopi.blogspot.com : For News in English please visit our Google+ page at https://plus.google.com/+BorakKedaiKopiBlogspot1

Monday, October 27, 2014

Motosikal berkuasa tinggi rempuh lori

Gambar orang ramai melihat keadaan motosikal mangsa yang maut dalam kemalangan di Jedok, Tanah Merah, yang disiarkan di laman sosial. Gambar kecil, Nordin.
Gambar orang ramai melihat keadaan motosikal mangsa yang maut dalam kemalangan di Jedok, Tanah Merah, yang disiarkan di laman sosial. Gambar kecil, Nordin.

TANAH MERAH - Seorang anggota tentera berusia 41 tahun maut selepas motosikal berkuasa tinggi ditungganginya merempuh sebuah lori di Kilometer 73, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, dekat sini, kelmarin.


Dalam kejadian kemalangan kira-kira jam 3 petang itu, mangsa, iaitu penunggang motor, Nordin Yusoff yang beralamat di Markas Tentera Laut, Bahagian Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur, disahkan meninggal dunia selepas dibawa ke klinik.

Pemangku Ketua Polis daerah, Asisten Superintendan Mohd Fadzir Manap berkata, semasa kejadian, mangsa yang bertugas di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut, Perak yang menunggang motosikal berkuasa tinggi itu dalam perjalanan ke Jeli dari arah Tanah Merah.

“Apabila sampai di tempat kejadian, di jalan Kilometer 73, Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli, mangsa yang menunggang bersendirian dikatakan melanggar belakang sebuah lori di hadapan yang membelok ke kanan jalan untuk masuk ke Masjid Jedok.

“Pelanggaran itu menyebabkan motosikal berkuasa tinggi mangsa tercampak ke kiri jalan. Mangsa dibawa ke Klinik Ayer Lanas tetapi disahkan sudah tidak bernyawa apabila tiba di klinik,” katanya, semalam.

Menurut Mohd Fadzir, bedah siasat dijalankan di Hospital Tanah Merah mengesahkan mangsa mati akibat beberapa kecederaan termasuk pada organ dalaman.

“Siasatan kes kemalangan ini masih diteruskan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan saksi yang melihat kejadian kemalangan itu diminta menghubungi polis bagi membantu siasatan,” katanya.

Sementara itu, difahamkan, mangsa berpangkat Pegawai Waran 1 kini bertugas di Unit KD Malaya (Tumpangan Latihan Peralihan) dan sedang bercuti di negeri ini ketika kejadian.

Mangsa masih mempunyai ibu yang tinggal di Kampung Tanjung Pagar, Ketereh, sedang menjalani Latihan Peralihan (LP) di Institut Kemahiran Mara (IKM), Lumut dalam bidang Teknologi Reka Bentuk.

Mangsa yang mula belajar di institut kemahiran itu pada 1 Julai lalu dan tinggal di Seri Manjung, Perak, dijangka menamatkan latihan pada Mei tahun depan.

0 comments: